PETALING JAYA: Naib Ketua PKR Cabang Batu, Rozan Azen Mat Rasip yang ditahan polis petang semalam dibebaskan hari ini.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, Rozan Azen dibebaskan kira-kira pukul 11 pagi ini.

“Ya, sudah dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya ringkas.

Terdahulu, polis mengesahkan menahan seorang lelaki setelah dipercayai membuat provokasi kepada anggota polis ketika ditahan di Jalan 45/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2 dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, polis menerima makluman mengenai seorang lelaki sedang memberi pengucapan awam dengan menggunakan pembesar suara di atas jalan dan menghalang lalu lintas di lokasi tersebut.

Eng Lai berkata, polis kemudian digerakkan ke lokasi kejadian dan terdapat seorang individu memegang sebatang kayu yang diikat bersama bendera parti politik serta memegang satu unit pembesar suara, sedang berkempen berkenaan PRU15.

Anggota polis kemudian memperkenal diri dan meminta individu tersebut untuk mengemukakan pengenalan diri, namun suspek enggan memberikan kerjasama dengan membuat provokasi mempersoal kuasa polis. 

Setelah menerangkan hak-hak untuk menahan dan memeriksa individu dinasihati untuk beredar tetapi suspek enggan dan sekali lagi bertindak melakukan provokasi dengan mempertikaikan anggota polis tersebut.. – UTUSAN

 

The post Naik ketua PKR Cabang Batu dibebaskan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *