NIBONG TEBAL: Kos untuk projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Kerian dan membina jejambat merentasi persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian di Seberang Perai Selatan (SPS) di sini dijangka tidak berubah meskipun berlaku sedikit kelewatan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM209 juta itu bermula sejak Julai 2021 dan ketika ini mengalami kelewatan fizikal sebanyak enam peratus atau kira-kira 45 hari iaitu sehingga 31 Disember lalu.

Beliau berkata, kelewatan itu disebabkan oleh masalah pengambilan semula tanah iaitu sebuah rumah ibadat untuk menyiapkan projek tersebut.

“Bukanlah terlewat teruk kerana ia masalah dengan pengambilan tanah dan masalah itu telah diselesaikan di peringkat ‘stakeholders’ (pemegang taruh).

“Justeru, kita berharap masalah ini dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat dan projek itu juga akan berjalan lancar selepas itu serta siap menjelang Februari 2025 nanti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan di sini hari ini.

Terdahulu, Nanta Linggi sempat meluangkan masa melawat pejabat operasi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) atau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, skop utama projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala dengan piawaian U5 sepanjang 1.35 kilometer (km).

“Projek ini bakal membantu penyuraian trafik di sebahagian FT001 dari Pulau Pinang ke Perak.

“Ia bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan pada waktu puncak, malah turut mengatasi masalah banjir kilat sekali gus menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna laluan tersebut,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara memainkan peranan dalam mengawal selia 57 lokasi persimpangan bertingkat, 12 lokasi kawasan Rehat dan Rawat (R&R), 23 lokasi hentian sebelah dan enam lebuh raya sepanjang 522.2km. – UTUSAN

 

The post Naik taraf jambatan, jejambat Nibong Tebal siap Februari 2025 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *