KUALA LUMPUR: “Najib bangun, buka pintu untuk saya keluar.”

Itu reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas pemilik portal The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong memberitahu dan memintanya mengambil tindakan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low kerana mencuri duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak AS$700 juta.

Wang tersebut merupakan sebahagian wang yang sepatutnya dilaburkan dalam projek usahasama 1MDB dan Petrosaudi International (PSI) namun telah dilencongkan ke satu syarikat lain, Good Star Limited Ltd. yang dikatakan milik Jho Low.

Menurut saksi pendakwaan ke-43 itu, beliau telah berjumpa dengan Najib di kediaman peribadi bekas Ahli Parlimen Pekan itu di Jalan Duta di sini kira-kira pukul 10.45 malam, 6 Mac 2015.

Pada peringkat awal pertemuan, Kooi Ong memberitahu, Najib mula memberikan pandangannya mengenai laporan-laporan yang diterbitkan oleh portal terbabit mengenai 1MDB sejak tahun 2010 yang didakwa bekas Presiden UMNO itu sebagai tidak benar.

Najib turut menerangkan kepadanya dengan panjang lebar mengenai pembayaran semula hutang 1MDB.

“Selepas 15 minit, Najib berhenti sekejap jadi saya bangun dan duduk di kerusi sebelah Najib. Saya tunjukkan kepadanya apa yang ada dalam simpanan kami, nota-nota, salinan emel daripada PetroSaudi yang kami perolehi daripada Xavier Justo di Singapura.

“Terlalu banyak emel tetapi daripada apa yang kami boleh ekstrak daripada emel-emel tersebut terdapat bukti jelas bahawa Petrosaudi bukanlah sebuah syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Arab Saudi. Ia merupakan sebuah syarikat persendirian,” katanya.

Pada pertemuan itu juga, Kooi Ong juga menjelaskan kepada Najib bahawa wang AS$1 bilion yang dilaburkan dalam PetroSaudi bukanlah berdasarkan penilaian yang sebenar memandangkan aset-aset berkaitan minyak dan gas tidak dimiliki oleh PetroSaudi.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sama ada beliau ada memberikan sebarang cadangan terhadap Najib mengenai Jho Low, lelaki itu berkata, ada memberikan cadangan sebagai seorang rakan.

Kooi Ong: Saya anggap Najib seperti seorang kawan. Saya beritahu dia yang Jho telah melakukan sesuatu yang salah dan perlu disiasat dan didakwa.

Sri Ram: Apa perkara salah yang dia (Jho Low) buat?

Kooi Ong: Dia (Jho Low) curi AS$700 juta.

Sri Ram: Apa reaksi Najib selepas awak beritahu begitu kepadanya.

Kooi Ong: Najib bangun, pergi ke pintu (rumah) dan buka pintu untuk saya keluar.

Sri Ram: Awak keluar?

Kooi Ong: Ya (sambil ketawa kecil).

Selepas pertemuan itu, Kooi Ong memberitahu, portal The Edge masih lagi terus menyiarkan laporan-laporan mengenai 1MDB yang mengakibatkan syarikat itu pernah digantung penerbitan selama tiga bulan dan beberapa pekerjanya turut disiasat.

“Saya juga telah dihalang daripada meninggalkan negara dan turut disiasat berhubung kesalahan elak cukai. Penggantungan The Edge pula berjaya dibatalkan melalui perintah mahkamah,”katanya.

Disoal mengenai siapa yang difikirkan bertanggungjawab atas ‘kesusahan’ yang dihadapi The Edge dan pekerjanya, Kooi Ong memberitahu secara logiknya ia mempunyai kaitan dengan laporan mengenai 1MDB malah beliau pernah diberi ‘amaran’ mengenainya sebelum ini.

“Paul Stadlen (penasihat media Najib ketika itu) pernah beritahu saya yang laporan mengenai 1MDB telah menyebabkan beberapa orang di PMO (Jabatan Perdana Menteri) tidak gembira.

“Dalam satu majlis The Edge yang turut dihadiri Najib, Stadlen pernah beri amaran bahawa PMO adalah sangat berkuasa dan kita semua perlu berhati-hati,” katanya.

Sungguhpun begitu, Kooi Ong memberitahu beliau tidak menyimpan dendam terhadap Najib yang dikenalinya sejak 1990an.

“Tidak dulu, tidak sekarang. Saya tidak berdendam terhadapnya,” kata Kooi Ong. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

The post Najib suruh pemilik The Edge keluar selepas diberitahu Jho Low curi AS$700j appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *