PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meminta peminat menghentikan sebarang spekulasi mengenai kedudukan ketua jurulatih skuad Penyu, Nafuzi Zain kerana ia akan diputuskan kurang dua minggu lagi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, keputusan akan dibuat dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC) Sdn. Bhd. pada 25 Oktober.

“Berhubung kedudukan jurulatih Terengganu FC, kita tengok perkembangan semasa apa yang berlaku, macam pasaran saham ada turun naik, apa jua kita akan tangani dengan cara terbaik perkembangan itu sama ada positif ataupun negatif.

“Setakat ini belum ada apa-apa keputusan berhubung kedudukan jurulatih itu kerana kita tidak mahu memberi tekanan tertentu dalam keadaan sekarang.

“Kedudukan jurulatih itu (kekal atau sebaliknya) akan dibincangkan pada 25 Oktober ini dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah,” katanya selepas menyampaikan trofi kepada pasukan Besut FA selepas berjaya merangkul kejuaraan dalam Liga Bolasepak Terengganu (TFL) 2022 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

Nafuzi, 43, jurulatih muda berbakat besar sebelum ini pernah membayangkan tahun ini mungkin musim terakhirnya membimbing Terengganu FC.

Beliau yang membawa Penyu mara ke final Piala FA 2022 dan kini menduduki tangga ketiga Liga Super belum menerima tawaran lanjutan kontrak dan dikaitkan dengan perpindahan ke Kedah musim depan. – UTUSAN ONLINE

The post Nasib Nafuzi ditentukan pada 25 Oktober appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *