ALOR SETAR: Penderitaan menimpa ibu tunggal anak empat, Naimah Abd. Razak yang menghidap penyakit buah pinggang seperti disiarkan akhbar ini mendapat perhatian Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).

Pengurus Kebajikan NKF, Loo Leong Heng berkata, yayasan berpangkalan di Selangor itu menawarkan rawatan dialisis percuma kepada wanita berusia 39 tahun tersebut di pusat dialisis mereka di sini.

“NKF mempunyai dua pusat dialisis di Alor Setar dan boleh membantu pesakit-pesakit tidak berkemampuan untuk mendapat dialisis yang optimum seperti Naimah secara percuma.

“Pihak kami juga akan menanggung kos pengangkutan dari rumahnya di Jitra ke Alor Setar untuk menjalani rawatan dialisisnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Leong Heng, bantuan tersebut adalah untuk jangka masa panjang atau sehingga Naimah mendapat penempatan rawatan di hospital kerajaan.

“Ia sekurang-kurangnya akan melepasi bebannya daripada rawatan dialisis. NKF sentiasa membantu pesakit buah pinggang daripada golongan tidak berkemampuan seperti Naimah,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan penderitaan Naimah yang terpaksa menjaga empat anak termasuk dua daripadanya yang menghidap autisme setelah diceraikan Disember tahun lepas.

Menurutnya, mereka lima beranak kini hidup dalam serba kekurangan apatah lagi ketika dia terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu kerana penyakit yang dihidapinya sejak setahun yang lalu.

Setakat ini Naimah memerlukan kos sebanyak RM450 seminggu untuk dialisis di sebuah klinik swasta di Jitra, Kubang Pasu. Akibat kesempitan wanita ini hanya berkemampuan menjalani dua kali rawatan seminggu. – UTUSAN

 

The post Nasib Naimah dapat perhatian, ditawar dialisis percuma appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *