KUALA PILAH: Sebanyak 10 kawasan hutan lipur dan sembilan trek pendakian yang berada dalam kawasan hutan simpanan kekal di Negeri Sembilan kembali dibuka kepada orang ramai sejak semalam.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, kesemua kawasan tersebut kembali dibuka selepas ia ditutup sejak 1 Disember lalu berikutan musim tengkujuh dan risiko kejadian kepala air.

“Ia membabitkan 10 kawasan iaitu Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Batu Maloi, Jeram Tengkek, De Bana, Serting Ulu, Gunung Datuk, Gunung Tampin, Pasir Panjang, Lenggeng dan PD Forest.

“Bagi trek pendakian pula ialah melibatkan Gunung Angsi, Gunung Tampin, Gunung Datuk, Bukit Senaling, Bukit Baginda, Bukit Batu Sawa, Bukit Batu Beras, Bukit Perajah dan Bukit Galla,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, jelas Saleh, sepanjang tempoh penutupan itu, pihaknya juga telah menjalankan kerja-kerja menaik taraf kemudahan di kawasan hutan lipur tersebut.

“Ada di antara kawasan yang sudah kami buka ini masih lagi dalam proses untuk membaik pulih lagi. Dalam pada itu masih ada lagi kawasan yang kami tutup seperti Gunung Berembun di Seremban, Jeram Toi dan Kenaboi di Jelebu atas faktor keselamatan,” katanya.

SALEH Awaludin (kiri) berbual dan beramah mesra bersama Ravichandran (dua dari kiri) dan beberapa pendakian lain di Gunung Angsi, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR.

Sementara itu, pendaki negara yang telah menawan Gunung Everest sebelum ini, T. Ravichandran menyambut baik pengumuman Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan untuk membuka semula trek-trek pendakian di negeri ini.

Beliau yang mengambil kesempatan untuk mendaki Gunung Angsi di sini memberitahu, trek pendakian di Negeri Sembilan sering menjadi pilihannya kerana proses mendapatkan permit pendakiannya lebih mudah.

“Selepas saya mendapat tahu trek pendakian di Gunung Angsi telah kembali dibuka, saya tidak melepaskan peluang untuk datang hari ini. Gunung Angsi menjadi pilihan kerana bagi saya ia menarik malah kemudahan yang disediakan juga lengkap.

“Di sini juga ada kaunter permit pendakian yang boleh terus dimohon, bayar dan mulakan pendakian. Proses itu mudah tidak seperti di beberapa lokasi lain yang perlu mohon sehingga dua minggu,” jelasnya.-UTUSAN.

The post Negeri Sembilan buka semula hutan lipur, trek pendakian appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *