SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan 100 buah masjid di negeri itu untuk menjadi pusat pembangunan ummah menjelang tahun 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menerbitkan Pelan Peningkatan Jemaah Masjid Negeri Sembilan (Jemaah) bagi tempoh dua tahun sehingga tahun hadapan.

Jelas beliau, pelan berkenaan bertujuan untuk meningkatkan jumlah bilangan jemaah ke masjid dengan memberi fokus kepada empat inisiatif strategik.

Empat inisiatif itu adalah dengan mempromosi kempen ke masjid, melaksana program pengimarahan yang menarik, meningkatkan tadbir urus cekap dan sistematik serta menjadikan masjid sebagai pusat sehenti (stop centre) ummah.

“Sasaran menerusi pelan ini adalah untuk memastikan bilangan jemaah dinaikkan kepada sekali ganda, itu harapan kita, kalau sekarang ada 100 orang jemaah setiap kali solat Subuh, ia diharap menjadi 200 orang, insya-Allah menjelang akhir 2024. 

“Itulah harapan kita ia dapat dicapai dan selepas ini harus ada bengkel-bengkel setiap tiga atau enam bulan sekali bagi melihat keberkesanannya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Sembilan Sesi 2023-2024 di sini semalam.

Sementara itu, Aminuddin berkata, jawatankuasa atau pegawai masjid yang telah dilantik bukan sahaja perlu menjaga dan mengurus ‘rumah Allah’ itu namun lebih penting mereka perlu berusaha menjadikan masjid sebagai pusat pembinaan dan pembangunan umat yang kuat dan berkualiti.

“Bagi menentukan hasrat ini menjadi kenyataan ialah dengan menyediakan pasukan kepemimpinan masjid yang kukuh dan benar-benar memahami hasrat berkenaan,

“Sehubungan itu usaha bagi meningkatkan kemahiran, keupayaan dan kompetensi pengurusan pasukan masjid seharusnya dirancang dan disusun dengan baik,” katanya lagi.-UTUSAN.

The post Negeri Sembilan sasar 100 masjid jadi pusat pembangunan ummah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *