SABAK BERNAM: Seorang nelayan warga Indonesia dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut di sekitar perairan Sekinchan di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu melibatkan lelaki dikenali sebagai Efendy, 40, yang menaiki sebuah bot kelas C.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten V. Siva Kumar berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mangsa pukul 11.05 pagi semalam.

Kata beliau, selain mengatur gerak bot, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) diaktifkan di Jeti Bagan Sekinchan.

“Operasi pencarian disambung bermula pukul 7 pagi tadi dengan turut disertai bantuan nelayan tempatan.

“Ia merangkumi keluasan 53.46 batu nautika persegi dan memfokuskan kawasan perairan Sekinchan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siva Kumar memberitahu, lelaki itu dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.

“Mangsa yang berambut panjang dilihat kali terakhir memakai baju kuning dan berseluar kelabu.

“Operasi pencarian masih giat diteruskan setakat ini,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan orang awam terutama nelayan supaya sentiasa mengutamkan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut. –UTUSAN

 

The post Nelayan Indonesia hilang di perairan Sekinchan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *