REMBAU: Seorang nenek terharu dan gembira permohonan bagi mengiktiraf tiga cucunya sebagai warganegara Malaysia sejak lebih 12 tahun lalu berhasil apabila ia diluluskan.

Termah Kasim, 71, berkata, dia yang kini uzur yakin dengan masa depan cucu-cucunya yang berusia 12 tahun hingga 20 tahun itu untuk menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi selepas ini.

Ia lebih-lebih lagi selepas cucunya, Siti Nur Sha­kila Abdullah, 20, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China, Melaka mendapat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.75 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021.

Katanya, dengan taraf kewarganegaraan berkenaan, cucu-cucunya itu mempunyai keistimewaan untuk mendapat pendidikan dengan kos warganegara berbanding sebelum ini apabila dia perlu bertungkus-lumus mencari rezeki serta berjimat menggunakan wang bantuan bagi memastikan mereka bersekolah.

“Memang saya mahu melihat cucu saya belajar sampai ke tahap mana yang mereka boleh belajar. Bila tiada kad pengenalan, hendak sambung belajar kami tidak mampu sebab ada masalah kewangan dan kos tentunya lebih tinggi.

“Alhamdulilah mujur ramai membantu sepanjang proses mendapatkan kewarganegaraan ini. Dalam tempoh lebih 12 tahun ini tidak terkira kami turun naik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga ke Putrajaya bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Radin, di sini semalam.

Media pada tahun lalu melaporkan kehidupan susah dan tinggal di rumah usang bukan menjadi masalah buat seorang warga emas namun nasib tiga orang cucunya, Siti Nur Shakila, Siti Nur Nilam Sari, 17, dan Muhammad Haikal Idham, 11, lebih memberikan keresahan buatnya kerana mereka tidak memiliki kad pengenalan.

Termah memberitahu, ketiadaan kad pengenalan itu disebabkan JPN masih ragu-ragu sama ada cucunya itu dilahirkan di negara ini atau Indonesia.

Dalam pada itu, Siti Nur Sha­kila berkata, dia seolah-olah mendapat kehidupan baharu apabila membaca keputusan status kewarganegaraan mereka tiga beradik dalam surat yang dibuka mereka di Pejabat JPN Rembau pada 15 Disember lalu.

“Tempoh menunggu sekitar tiga ke enam bulan, saya tidak sabar memperolehnya kerana mahu menyambung pelajaran serta mengubah nasib keluarga dan membalas jasa nenek.

“Saya ada mendapat tawaran di Universiti Melaka, namun saya tangguhkan dahulu kerana tidak mampu dari segi kewangan.

“Buat masa ini, saya bekerja di kedai cuci kereta berhampiran dengan gaji harian selain membuat jualan produk secara dalam talian. Saya belum mengetahui akan melanjutkan pelajaran dalam bidang apa, namun berminat dalam bidang undang-undang,” katanya. – UTUSAN

The post Nenek lega, tiga cucu diiktiraf kewarganegaraan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *