KATHMANDU: Nepal memulakan hari berkabung semalam bagi memperingati mangsa-mangsa nahas pesawat penumpang, Yeti Airlines yang membawa 72 penumpang di Pokhara, kelmarin.

Kejadian itu juga disifatkan sebagai nahas udara terburuk dalam tiga dekad di negara kecil Himalaya itu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal ketika mengemas kini laporan kejadian memaklumkan, sekurang-kurangnya 68 mayat ditemukan sehingga semalam dan pasukan menyelamat turut menyifatkan baki empat mangsa yang masih hilang sebagai tiada harapan untuk hidup.

Di tempat kejadian, suasana sedih dan hiba menyelubungi dengan beratus-ratus anggota penyelamat kelihatan menyelusuri lereng-lereng bukit pada kedalaman 300 meter serta bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat.

Menurut seorang saksi, Arun Tamu, 44, sewaktu kejadian, dia sedang berjalan sebelum terde­ngar bunyi letupan kuat.

SEPERTI BOM MELETUP

Dia berkata, jarak tempat nahas dengan kedudukannya ketika itu kira-kira 500 meter, malah, turut merakam serta menyiarkan video serpihan yang terbakar itu dalam media sosial.

“Saya sedang berjalan apabila terdengar bunyi letupan kuat, seperti bom meletup. Beberapa daripada kami bergegas untuk melihat sama ada kami boleh menyelamatkan sesiapa. Saya melihat sekurang-kurangnya dua wanita sedang bernafas. Api semakin marak dan ia menyukarkan kami untuk mendekati,” kata bekas tentera itu kepada AFP.

Terdahulu, rakaman televi­syen tempatan menunjukkan anggota penyelamat berlegar-legar di sekitar bahagian pesawat yang berkecai dengan sebahagian struktur tanah berhampiran lokasi nahas hangus berikutan keadaan api yang marak.

Kelmarin, keadaan cuaca juga cerah dan tiada petunjuk langsung mengenai punca nahas itu.

NAHAS KEDUA TERBURUK SELEPAS 1992

Menurut pangkalan data Rangkaian Keselamatan Penerbangan Nepal, nahas berkenaan adalah nahas udara kedua paling buruk di Nepal sejak 1992.

Nahas terburuk adalah nahas pesawat Airbus A300 Pakistan International Airlines yang terhempas ke lereng bukit apabila menghampiri Kathmandu dan mengorbankan kesemua 167 penumpang di dalamnya.

Hampir 350 orang maut sejak tahun 2000 dalam nahas kapal terbang atau helikopter di Nepal iaitu negara yang memiliki lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia termasuk Everest.
Jurucakap polis Nepal, Tek Prasad Rai berkata, tiada mangsa yang terselamat setakat ini dan proses mengenal pasti identitimayat sedang dijalankan.

“Operasi pencarian masih dijalankan dan kami bersama pa­sukan sibuk mengumpulkan mayat,” katanya.

Difahamkan, Kesatuan Ero­pah turut mengharamkan pesawat dari Nepal untuk memasuki ruang udara mereka berikutan reputasi buruk industri penerbangan negara itu selain berkaitan keselamatan.

TIADA MANGSA SELAMAT

Tiada mangsa terselamat ditemukan setakat ini.

Menurut butiran yang di­keluar­kan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal (CAAN), 53 daripada penumpang serta empat kakitangan penerbangan di dalam pesawat adalah warga Nepal.

Warga asing di dalam pesawat itu termasuk lima warga India, empat warga Rusia, dua warga Korea, seorang warga Ireland, seorang warga Australia, seorang warga Argentina dan seorang pengembara dari Perancis.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Gandaki untuk pengecaman dan bedah siasat.

Pengurus Pemasaran Yeti Air­lines, Pemba Sherpa berkata, pihaknya akan memindahkan mayat kepada pihak keluarga bagi proses pengecaman dan penyerahan.

“Semua mayat kini berada di Pokhara. Selepas pengecaman, kami akan mengangkut mayat ke lokasi yang sesuai untuk keluarga dan penyerahan akan dilakukan.

“Kami juga mengedarkan maklumat kepada pihak kedutaan terlibat mengenai kematian warga asing,” katanya.

Sehingga kini, masih belum jelas mengenai punca nahas berkenaan.

TUBUH JAWATAN KUASA

Kerajaan Nepal menubuhkan sebuah jawatan kuasa untuk menyiasat kejadian itu dan mengisytiharkan Isnin sebagai cuti umum bagi meratapi kehilangan itu.

Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal dalam ciapan Twitternya berkata:

“Saya amat sedih dengan kemalangan tragis Yeti Airlines dengan 72 penumpang.” – AGENSI

The post Nepal berkabung tragedi Yeti Airlines appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *