WELLINGTON: New Zealand bakal menjadi negara pertama di dunia yang mencapai status bebas asap rokok jika strategi baharu radikalnya mendapat kelulusan di Parlimen dalam tempoh terdekat.

Lapor Mail Online, pelan ‘serampang dua mata’ itu termasuk melarang penjualan rokok kepada remaja berumur bawah 13 tahun bagi mewujudkan generasi yang tidak pernah mengamalkan tabiat itu.

Keduanya, New Zealand akan mengurangkan bilangan peruncit tembakau sebanyak 95 peratus menjelang tahun 2025 supaya rokok menjadi lebih sukar untuk diperoleh.

Dasar ketiga akan mengurangkan kandungan nikotin dalam rokok yang masih dihasilkan ke paras paling rendah dengan harapan dapat membantu menghalang rakyatnya daripada masalah ketagihan.

Jika diluluskan, langkah itu akan berkuat kuasa pada Januari tahun depan walaupun terdapat kebimbangan langkah itu mungkin mencetuskan pasaran gelap.

Menteri bersekutu baharu bagi kesihatan New Zealand, Ayesha Verrall mengetuai pembentukan Pelan Tindakan Bebas Asap Aotearoa 2025 yang dijangka akan diundi oleh Dewan Rakyat negara itu minggu depan.

Penyokong, termasuk pemimpin Māori optimis rang undang-undang itu akan diluluskan dan akses kepada rokok akan dihadkan secara mendadak mulai Januari tahun depan.

New Zealand sudah berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menurunkan tahap merokok dalam kalangan rakyatnya dan menjadi  antara negara terawal yang menghentikan tabiat merokok di kawasan tempat kerja tertutup pada tahun 1990 dan restoran serta bar pada tahun 2004.

Menurut platform penyelidikan dalam talian OurWorldInData, New Zealand juga merupakan antara yang mempunyai kadar merokok terendah dalam kalangan negara perindustrian dengan hanya merekodkan 14 peratus perokok dewasa.

Sejak tahun 2010, cukai ke atas rokok sudah meningkat sebanyak 165 peratus, bermakna di Auckland, sebungkus Marlboro adalah bersamaan dengan AS$21 (RM92.45) berbanding di New York sekitar AS$14 (RM61.60).

The post New Zealand bakal jadi negara ‘bebas asap rokok’ pertama appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *