KOTA BHARU: Kehadiran Nik Muhamad Abduh Nik Abdul Aziz ke Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi menamatkan spekulasi anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik itu’merajuk’ selepas namanya tidak tersenarai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Nik Muhamad Abduh berkata, kehadirannya itu memberi jawapan terhadap persoalan mengenai pendirian politiknya setelah digugurkan dari senarai calon PN di negeri ini.

“Malam ini hak Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) dulu, saya esok. Esok boleh saya jawab. Kalau jumpa saya jawab esok,” katanya secara ringkas semalam ketika diminta mengulas beliau tidak tersenarai sebagai calon PRU-15 selepas Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Menerusi Pengisytiharan itu, Pas menamakan Mohd. Syahir Che Sulaiman sebagai pengganti Nik Mohamad Abduh bagi kerusi Parlimen Bachok.

Utusan Online 1 November lalu melaporkan, tindakan Nik Mohamad Abduh memuat naik gambar ‘bulan’ berwarna biru dalam laman sosial Facebook miliknya mencetuskan pelbagai polemik dalam kalangan warganet.

Gambar tersebut mendapat perkongsian sebanyak 158 tanda suka dan mengundang lebih 1,400 komen yang ditinggalkan oleh warganet.

Pada PRU-14, Nik Mohamad Abduh yang bertanding di Bachok menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan PKR, Mohd. Zulkifli Zakaria dengan majoriti 3,292 undi.

Nik Mohamad Abduh memperoleh 36,188 undi, BN (32,896) dan PKR (4,880). – UTUSAN

The post Nik Abduh setia dengan Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *