PASIR PUTEH: Calon Pas Parlimen Pasir Puteh dari parti Pas, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh menyangkal dakwaan beliau memberi ‘dedak’ kepada pengundi sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Nik Muhammad Zawawi menegaskan sepanjang menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II beliau tidak pernah berkempen dan mengajak orang ramai khususnya petani mengundi PN pada PRU15 ini.

Menurutnya, kebanyakan program pertanian dan penyampaian bantuan yang dihadiri beliau telah dirancang di peringkat kementerian dan agensi pertanian sebelum parlimen dibubarkan dan diteruskan hingga sekarang.

“Saya mengambil pendekatan hanya membaca teks ucapan yang disediakan oleh agensi penganjur dan tidak akan lagi menyerahkan bantuan kepada penerima. 

“Tugasan itu akan diambil alih oleh pengarah agensi yang berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Semarak Tani anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Bandar Tok Janggut, di sini hari ini.

Nik Muhammad Zawawi memberitahu, kesemua bantuan itu adalah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan tidak mempunyai kaitan dengan peruntukan parti.

Katanya, kenyataan yang telus perlu dimaklumkan agar tugasan rasmi ini tidak dipolitikkan.

“Hal ini kerana saya masih berpegang kepada dasar yang ditetapkan di peringkat kementerian,” ujarnya. – UTUSAN

The post Nik Muhammad Zawawi nafi agih ‘dedak’ PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *