PETALING JAYA: Meskipun bertarung dengan perasaan, penyanyi Datuk Nora Ariffin tetap cekal menyusun langkah menaiki pentas menerima diploma bagi pihak anaknya, Allahyarham Alif Johan, semalam.

Allahyarham Alif atau nama lengkapnya, Muhammad Syakir Alif Johan menerima Diploma Perfileman pada Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-95, semalam.

“Alif.. ini adalah untuk kamu. Mama tolong ambilkan ya. Alhamdulillah, tahniah.

“Keluarga kecil saya tumpang bangga dan gembira dengan pencapaian anakanda, Alif Johan yang sempat habiskan diploma sebelum kembali ke rahmatullah. Moga Alif tenang di sana,” tulisnya di Instagram.

Penyanyi Hanya Satu itu turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua tenaga pengajar, khususnya di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) serta sahabat yang memberi sokongan kepada arwah sepanjang hayatnya.

“Terima kasih kepada UiTM, juga kawan-kawan yang banyak memberi semangat dan sayangkan arwah, terutama sekali semua pensyarah yang sangat menyokong.

“Sampai hari ini mereka masih berhubung dengan mama dan menceritakan kebaikan serta betapa mendalamnya minat Alif dalam bidang seni. Ini untuk kamu,” kata Nora dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook.

Nora diuji dengan dugaan kehilangan anak keduanya itu pada 14 Disember 2019 yang menghembuskan nafas terakhir selepas tiba-tiba rebah di kediaman mereka.

Allahyarham Alif yang pernah tersenarai antara 20 protege program Mentor Millenia 2019 dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, berhampiran pusara bapanya.

Terdahulu, Nora diuji dengan kehilangan suaminya, Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama yang menghembuskan nafas terakhir pada 24 Mac 2017.

The post Nora terima diploma arwah anak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *