PONTIAN: Seorang bapa tunggal memohon bantuan orang ramai bagi mengesan ibu kandung seorang kanak-kanak perempuan yang dipelihara sejak tiga tahun lalu.

Zainol Ahmad, 53, memerlukan surat pengesahan daripada ibu kandung kepada Norkasih Zalika Abd. Hamid, 3, untuk diambil sebagai anak angkat yang sah.

Dia mengambil Norkasih Zalika selepas dua hari dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada tahun 2019 daripada ibunya yang dikenali sebagai Suzi Sutrimi ketika itu berusia 23 tahun.

Memandangkan dia tidak mempunyai anak daripada dua perkahwinan, seorang lelaki warganegara Indonesia menyarankannya mengambil bayi yang dilahirkan oleh Suzi Sutrimi ketika itu.

“Saya juga yang telah menanggung bayaran bersalin dan perbelanjaan lain sebanyak RM4,000  bagi membolehkan bayi ini dan ibunya keluar dari HSA selepas itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, di sini.

Zainol dan arwah isterinya, Mariani Mohamed yang meninggal dunia September lalu gembira kerana mendapat seorang bayi perempuan bagi menyerikan lagi kehidupan mereka.

Sebelum berkahwin dengan arwah Mariani, Zainol yang berasal dari Kedah pernah berkahwin dengan Faizah Md. Noh tetapi telah berpisah dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

MEMBESAR

“Memandangkan Norkasih Zalika semakin membesar, saya berharap akan mendapat pengesahan  anak angkat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.

Dokumen pemilikan anak angkat penting untuk dia berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi permohonan Sijil Kelahiran (MyKid ) dan  Kad Pengenalan apabila Norkasih Zalika genap berusia 12 tahun nanti.

Zainol mengakui tidak tahu di mana Suzi Sutrimi berada, sama ada masih di negara ini atau telah kembali ke Indonesia  dan nombor telefon yang diberikan kepada arwah isterinya juga tidak dapat dihubungi.

“Begitu juga dengan lelaki yang  memperkenalkan saya dengan Suzi Sutrimi dan bekerja di ladang kelapa sawit juga tidak dapat dikesan hingga kini,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Pekan Nanas.

Orang ramai yang mengetahui di mana Suzi Sutrimi boleh menghubungi Zainol menerusi talian 019-8982492 atau ke alamat No 18, Kampung Jeram Batu, 81500 Pekan Nanas, Pontian. – UTUSAN

The post Norkasih Zalika cari ibu kandung appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *