PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd., ahli Kumpulan MMC memenangi tiga Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2020/2021 termasuk anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk sektor swasta, minggu lalu.

Northport turut memenangi anugerah Perkhidmatan Perniagaan dan Mentor-Mentee (Mentor) dalam anugerah yang dianjurkan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, selama beberapa tahun kebelakangan ini, pihaknya telah melakukan penambahbaikan berterusan terhadap langkah-langkah kesihatan, keselamatan dan persekitaran (HSE) demi melindungi kakitangan dan pengguna pelabuhan daripada ancaman keselamatan dan kesihatan. 

“Kami telah memperkukuhkan lagi usaha kami, khususnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dalam usaha memerangi wabak Covid-19. 

“Anugerah ini adalah bukti komitmen teguh kami dalam mempromosikan HSE sebagai bahagian penting dalam operasi perniagaan kami,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Mohd. Anuar Embi.

NCOSH adalah sebuah badan tertinggi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab untuk menentukan hala tuju dan dasar negara berhubung keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. 

Northport telah diiktiraf dengan beberapa anugerah dan pengiktirafan di atas komitmen cemerlangnya dalam menjalankan operasi perniagaan pada tahap tertinggi HSE. 

Pada Mei tahun ini, Northport telah memenangi anugerah IAPH 2022 Sustainability Award di bawah kategori Keselamatan, Kesihatan dan Sekuriti semasa Persidangan Pelabuhan Dunia IAPH 2022 yang telah diadakan di Vancouver, Kanada. 

Dengan projek bertajuk ‘Perjalanan Ke Arah Kecemerlangan HSE,’ Northport telah menewaskan dua finalis lain iaitu Pelabuhan Montreal dan Pelabuhan Amsterdam. 

Northport merupakan pelabuhan Malaysia pertama yang menerima anugerah berprestij antarabangsa ini.

Pada 2019, Northport menjadi pelabuhan Malaysia pertama yang dianugerahkan pensijilan ISO 45001:2018, membuktikan komitmen Northport dalam mengendalikan aktiviti perniagaannya pada tahap tertinggi sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh organisasi. – UTUSAN

The post Northport rangkul anugerah keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *