JOHOR BAHRU: “Saya sudah potong rambut, badan pun sudah kurus sedikit, jadi dah macam orang baharu.”

Itu seloroh Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu secara tidak langsung memberi bayangan sedia menggalas tanggungjawab sekiranya dicalonkan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15).

Bagaimanapun bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu menyerahkan soal berkenaan kepada pucuk kepimpinan parti.

“Senario politik ketika ini menunjukkan pengundi mahukan calon muda dan berwajah baharu. Tetapi saya sudah tidak muda, saya dahulu pernah jadi Ahli Parlimen Pulai, tetapi saya sudah potong rambut pendek dan badan pun sudah kurus, kira macam orang baharu. Nampak lain dan nampak muda.

“Ini bukanlah hendak kata saya mahu jadi calon (dalam PRU15), tetapi kalau ditakdirkan jadi calon, dengan asas-asas yang sudah ada, biarlah Ahli Parlimen selari dengan Menteri Besar, ADUN dan kerajaan negeri,” katanya.

EKONOMI

Jika kerajaan Pusat dan negeri selari, pembangunan serta ekonomi negara dan negeri dapat diurus dengan lebih baik.

“Selain keselarian pentadbiran Pusat dan negeri, sikap kerjasama dan bersatu padu merupakan antara rahsia utama kejayaan pembangunan Johor selama ini.

“Hakikat itu bagaimanapun telah terhenti sejak 2018 apabila pentadbiran kerajaan bertukar tangan sehingga rakyat tidak kenal siapa pemimpin mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Onn Hafiz pula berjanji untuk turun padang dan membantu kempen jentera BN, termasuk di Parlimen Pulai sekiranya Nur Jazlan dicalonkan semula.

“Saya tahu di dalam hati, beliau mungkin tidak mahu jadi calon, tetapi kalau ditakdirkan Nur Jazlan menjadi calon, saya yakin orang Pulai akan beri sokongan kepada beliau. Malah, saya sendiri akan turun untuk bantu kempen beliau,” tambahnya.

Nur Jazlan sebelum ini telah membuat kenyataan secara terbuka bahawa beliau tidak mahu bertanding dalam PRU15 dan akan memberi peluang itu kepada calon baharu.

Nur Jazlan yang pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal sejak PRU 11 pada 2004 sebelum tewas kepada Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam PRU14 dengan majoriti 28,924 undi.- UTUSAN

 

The post ‘Nur Jazlan beri bayangan sedia bertarung? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *