KUALA LUMPUR: Ketua Puteri UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi hari ini menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO sesi 2023 hingga 2026 dalam pemilihan parti itu, di Menara Dato Onn di di sini hari ini. 

Dengan pencalonan itu bakal menyaksikan beliau akan mengekalkan jawatan Naib Ketua Puteri UMNO  yang disandang sejak bertanding pada 2018, jika menang dalam pemilihan kali ini.

Beliau tiba di pusat pencalonan kira-kira pukul 10.50 pagi, lewat sejam dari yang dijadualkan.

NURUL AMAL MOHD FAUZI

Nurul Amal berkata, beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu kerana ingin menambah dan memperbaiki kekurangan di dalam parti khususnya bagi sayap Puteri UMNO. 

Katanya, penyertaan beliau juga tidak didorong atau dipaksa oleh pihak tertentu sebaliknya hanya mahu melihat parti itu bangkit kembali. 

“Sudah tentu, saya juga mahu memeriahkan demokrasi, dan sudah pasti saya mengharapkan kesemua calon pun (merasakan yang sama). Apa yang penting adalah kita mempertahan perlembagaan parti dan institusi presiden. 

“Saya rasa pertandingan kali ini ramai yang sayangkan parti UMNO, saya mengharapkan yang terbaik dan seterusnya untuk legasi pergerakan puteri UMNO bertambah baik,” katanya ketika ditemui selepas selesai menghantar borang pencalonan di sini hari ini.

Ditanya mengenai sumbangan, pencapaian dan ciri-ciri dimiliki beliau supaya melayakkannya memegang jawatan itu, Nurul Amal enggan mengulas lanjut sebaliknya menyerahkan sepenuhnya keputusan pada para perwakilan. 

“Masing-masing ada kelebihan. Saya pun tidak mahu komen banyak kerana ini adalah pemilihan. Jadi, kita serahkan pada perwakilan dan pemilihan siapa yang layak dinobatkan sebagai Ketua Puteri UMNO kali ini,” katanya. –utusan

 

The post Nurul Amal ingin baiki kekurangan parti appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *