SYDNEY: Sebuah pesawat Qatar Airlines yang berlepas dari Brisbane ke Doha, terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang selepas penumpang mengesan objek tergantung di sayap kapal terbang.

Lapor Daily Mail, pesawat QR899 berlepas dari Lapangan Terbang Brisbane pada pukul 11.11 malam (waktu tempatan) pada 31 Disember 2022 bagi perjalanan selama 14 jam.    

Bagaimanapun, selepas kira-kira 15 minit dalam perjalanannya, pesawat Boeing 777 itu berhenti terbang pada 3,048 meter dan menuju ke arah laut untuk memulakan  holding pattern di luar pantai Queensland.

Pesawat itu membuang sebahagian besar bahan apinya di luar pantai sebelum mendarat semula di Lapangan Terbang Brisbane selepas pukul 12.30 pagi (waktu tempatan) pada 1 Januari.

Ini bermakna ratusan penumpang terpaksa menyambut malam Tahun Baharu dalam pesawat berpusing beberapa kali di ruang udara.

Seorang penumpang pesawat QR899 tampil mendedahkan di Twitter mengapa kapal terbang itu terpaksa berpatah balik.

Katanya, penumpang mengesan objek berwarna putih tergantung atau terlepas dari sayap bahagian kanan kapal terbang.

“Juruterbang datang dan melihat melalui tingkap tempat duduk penumpang dengan memancarkan lampu suluh ke arah sayap pesawat.

“Kemudian, tanda tali pinggang keledar tidak dipadamkan dan pesawat kami kembali ke Brisbane,” katanya. 

Menurut penumpang itu, dia tidak melihat dengan sendiri objek itu namun dimaklumkan mengenainya oleh pramugara yang bertugas.

Sementara itu, laman Flight Radar 24 menunjukkan pesawat Qatar Airways itu melakukan pusingan berbentuk angka lapan ketika terbang di kawasan laut. 

Ia adalah prosedur biasa untuk penerbangan jarak jauh mengeluarkan bahan api dan meringankan pesawat sebelum melakukan pendaratan kecemasan.

Jurucakap Lapangan Terbang Brisbane mengesahkan pesawat QR899 terpaksa berpatah balik kerana mengalami masalah.

Syarikat Qatar Airways memaklumkan pesawat itu mendarat dengan selamat selepas mengalami masalah teknikal.

The post Objek tergantung paksa pesawat mendarat cemas   appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *