GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mengeluarkan sejumlah 2,016 saman sepanjang Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan bermula 30 Disember hingga 1 Januari lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi sama, sebanyak 146 buah kenderaan disita manakala tujuh individu ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kesalahan dadah.

”Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang melibatkan 1,294 pegawai dan anggota ini memfokuskan kepada pencegahan jenayah dan samseng jalanan secara bersepadu dengan agensi lain.

“Bagi memastikan Tahun Baharu 2023 tidak dikotori dengan kegiatan samseng jalanan, polis bersama dengan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengadakan sekatan jalan bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau, polis juga menjalankan operasi pencegahan jenayah di beberapa kawasan tumpuan orang awam dan pengunjung.

“Hasil daripada operasi tersebut, sejumlah 61 premis pusat hiburan dan sebanyak 5,340 kenderaan telah diperiksa.

“Selain itu, seramai 6,427 individu telah diperiksa dan diuji air kencing, daripada jumlah tersebut seramai 71 individu ditahan pelbagai kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1971, Akta Racun, Akta Dadah Berbahaya, Akta Pertubuhan dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, polis Pulau Pinang akan terus menjalankan operasi-operasi sedemikian bagi memastikan keadaan di negeri ini kekal aman. – UTUSAN

The post Op Ambang Tahun Baharu; 2,016 saman dikeluarkan di Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *