SEREMBAN: Tindakan pemilik motosikal mengubah suai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising antara 96 saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Negeri Sembilan dalam Op Khas Ekzos Bising di sekitar negeri ini bermula 1 Disember lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, operasi yang bermula pukul 6.30 hingga 8 pagi itu dijalankan bagi mengesan kenderaan yang mengubah suai bahagian ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising dan mengganggu orang ramai.

“Hasil Op Khas Ekzos Bising yang dijalankan pada 1 Disember lalu, sebanyak 215 buah kenderaan diperiksa dengan 96 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak lima saman bagi kesalahan mengubah suai ekzos dikeluarkan ke atas lima buah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, sebuah motosikal juga disita atas kesalahan ekzos bising dan pengubahsuaian yang keterlaluan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Kenderaan yang disita akan diserahkan semula kepada pemiliknya setelah diambil tindakan dengan menukar kepada ekzos asal kenderaan tersebut,” katanya. –UTUSAN

The post Op Ekzos Bising: 96 saman dikeluarkan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *