PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asa pada Januari 2023 bagi mengekang inflasi dan menstabilkan pasaran, kata penganalisis.

Kenaikan tersebut akan menjadi kali kelima berturut-turut kepada paras 3.0 peratus setelah berada pada paras terendah pada 1.75 peratus sebelum dinaikkan pada 11 Mei tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, OPR wajar dinaikkan ekoran pertumbuhan ekonomi global yang dijangka bergerak perlahan seperti yang diunjurkan oleh Bank Dunia. 

Katanya, ekonomi dunia dijangka terus melemah dengan pertumbuhan daripada kadar lima peratus pada 2021, menurun kepada 3.8 peratus dan seterusnya 2.3 peratus pada 2023.

“Ini adalah akibat tekanan kos yang meningkat serta kawalan kewangan yang ketat terutama negara dagangan utama Malaysia. 

“Justeru, tanpa kawalan ekonomi melalui pelaksanaan OPR, had laju wang di pasaran akan terus meningkat dan menjadikan kawalan harga, aktiviti hutang atau pinjaman agregat masyarakat keseluruhan akan terus menyukar,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau menjangkakan inflasi akan meningkat daripada 4.0 pada November kepada 4.7 peratus pada Disember berdasarkan kepada kadar inflasi rakan dagangan utama negara yang juga dijangka tinggi seperti Singapura pada 7.0 peratus Amerika Syarikat (7.0 peratus), ​Jepun (3.9 peratus), ​Taiwan (2.7 peratus) dan China (1.7 peratus).

Menurutnya, peningkatan inflasi ini adalah juga disebut sebagai inflasi yang diimport dan kesan langsung tersebut ditambah buruk dengan kelemahan ringgit yang berlegar-legar di sekitar RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat sepanjang Disember. 

“Impak daripada kelemahan ringgit ini dijangka terus mengekalkan harga barangan import yang tinggi. 

“Inflasi juga dijangka meningkat akibat daripada ketegaran permintaan domestik yang mendorong kenaikan harga makanan daripada 7.1 peratus kepada 7.3 peratus yang menjadi komponen utama dalam Indeks Harga Pengguna (IHP). 

“Namun begitu inflasi dijangka menurun kepada 3.6 peratus pada Januari 2023 didorong oleh kestabilan komoditi dan pasaran global yang kembali normal,” ujarnya. – UTUSAN

The post OPR dijangka naik 25 mata asas lagi pada Januari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *