GUA MUSANG: Sekumpulan 15 penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini terpaksa meredah sungai dengan mengusung 13 buah motosikal untuk keluar ke bandar bagi mendapatkan barangan basah.

Bukan itu sahaja, kumpulan berkenaan terpaksa mengambil masa hampir 10 jam untuk tiba ke pusat bandar dengan selamat selain perlu melalui laluan jalan balak yang rosak dan meredah air Sungai Inching.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Tidag, Pos Balar, Sari Din, 25, berkata, kebiasaannya mereka hanya mengambil masa lima jam untuk ke bandar Gua Musang.

Menurutnya, bagaimanapun hujan lebih seminggu lalu menyebabkan jalan dipenuhi lumpur dan paras air sungai meningkat.

“Kami bertolak dari rumah pada pukul 7 pagi dan sampai ke bandar pukul 5 petang. Pada masa yang sama, kami terpaksa bermalam di rumah tumpangan di bandar Gua Musang sebelum bertolak balik pagi ini.

“Kami keluar secara berkumpulan bagi memudahkan urusan membantu rakan lain untuk mengusung atau menolak motosikal yang tersangkut dalam lumpur,” katanya.

Sementara itu, Abu Alang, 41, memberitahu, dia sendiri terpaksa menunggang motosikal meredah lumpur dan sungai untuk ke bandar Gua Musang.

“Setiap tahun jika musim hujan, golongan wanita termasuklah warga emas perlu melalui cabaran jalan rosak dan meredah sungai dan sudah lali kerana hanya itu jalan perhubungan kami sejak turun-temurun.

“Sejak seminggu lalu kami hanya makan ubi kayu dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri sebelum keluar membeli barangan di bandar,” ujarnya. -UTUSAN

The post Orang Asli usung 13 motosikal redah sungai, jalan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *