JOHOR BAHRU: Polis Johor mengakui hanya berlaku sedikit kesesakan trafik, khususnya di pusat bandar raya ini ekoran ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka menggunakannya kereta disebabkan cuaca hujan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat bagaimanapun berkata, keadaan kesesakan turut berlaku di kebanyakan pusat pengundian pada waktu pagi ekoran jumlah pengundi ramai.

Namun, kesesakan di pusat-pusat pengundian dan juga jalan raya utama kembali tenang setelah cuaca reda di beberapa daerah.

“Berdasarkan beberapa lawatan yang dibuat di pusat pengundian, kita dapati hampir semua mengalami kesesakan, sebab ramai orang keluar pagi untuk elakkan hujan.

“Polis Johor juga tidak menerima sebarang laporan tentang apa-apa insiden. Orang Johor ‘steady’, rakyat negeri ini semua mainkan peranan sebagai rakyat Malaysia yang ‘sporting’ dan faham tanggungjawab masing-masing, cuma sedikit sesak itu perkara biasa,” katanya selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Kamarul Zaman berkata, pemantauan yang dilakukan pihaknya di dua pintu masuk negara, iaitu Tambak Johor dan Laluan Kedua (LinKedua) menunjukkan pergerakan terkawal, termasuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Tinjauan dibuat mendapati pergerakan di dua laluan darat memasuki negara ini lancar, dengan BSI, khususnya dianggarkan hanya terdapat maksimum seramai 400 orang pengembara pada satu-satu masa,” katanya.

Terdahulu, proses pengundian di negeri ini berjalan lancar walaupun beberapa daerah dilanda hujan lebat sejak awal pagi, namun tiada antara 1,024 pusat pengundian di negeri ini ditutup. – UTUSAN

The post Orang Johor ‘steady’, sesak cuma waktu pagi – Polis Johor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *