SAUDARA PENGARANG,

BAIK semasa atau selepas dijajah Inggeris dan memperoleh kemerdekaan, masalah orang Melayu masih berputar pada perkara-perkara yang hampir sama iaitu antaranya pendidikan, pekerjaan dan pegangan ekonomi.

Tidak sedikit pemimpin Melayu yang pernah mengupas masalah orang Melayu ini secara tuntas. Salah seorangnya ialah Allahyarham Datuk Onn Jaafar yang amat kritis membahaskan isu-isu orang Melayu semasa memimpin pelbagai penerbitan akhbar.

Ditambah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyebut dengan jelas dan tegas kedudukan atau keistimewaan orang Melayu. Maka, bagi tempoh yang panjang, orang Melayu tidak gusar tentang risiko kehilangan kuasa politik untuk memerintah.

Tetapi pemikiran begini ada risiko dan implikasi buruknya yang tersendiri. Rasa selesa menyebabkan mereka mengambil mudah kesalahan yang dilakukan.

Konsep politik naungan yang dipraktikkan UMNO menyaksikan bagaimana politik dan perniagaan menjadi saudara kembar yang hampir tidak mungkin dipisahkan.

Konsep ini mengukuhkan UMNO di persada kuasa sebagai Kerajaan Persekutuan dalam tempoh enam dekad. Hampir sukar orang Melayu boleh menjadi peniaga berjaya jika tiada kaitan dengan UMNO.

Barangkali, disebabkan konsep politik beginilah, walaupun kerajaan melancarkan pelbagai program ekonomi yang bertujuan untuk membantu rakyat tetapi hasilnya hanya dinikmati oleh pihak tertentu sahaja dalam kalangan orang Melayu.

Miskin

Mungkin tidak ramai yang bersetuju tetapi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui orang Melayu masih dibelenggu dengan kemiskinan yang berpunca daripada banyak tanah yang terpaksa dijual kepada orang bukan Melayu.

Namun demikian, jika merujuk kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 22 September lalu, baginda meletakkan rasuah sebagai punca kemiskinan terus merebak selain menyebabkan pertumbuhan ekonomi terbantut, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga.

Lebih memburukkan keadaan apabila hak rakyat untuk menikmati perkhidmatan kerajaan seperti kesihatan dan pendidikan juga dinafikan.

Justeru, langkah pemulihan wajar diambil segera. Sultan telah bertitah, maka giliran rakyat pula untuk menjunjung perintah. Tetapi malangnya, kini orang Melayu saling berpecah belah kerana perbezaan parti politik.

Dalam mendepani kesulitan dan krisis ini, para cendekiawan perlu membantu rakyat membincangkan model kepimpinan baharu yang mempunyai kualiti untuk melakukan perubahan dan berwatak sebagai pendidik atau murabbi.

Oleh itu, program celik politik perlu dilaksanakan untuk menyedarkan orang Melayu agar memiliki keupayaan untuk menilai dan memilih sekali gus mengangkat pemimpin yang berwibawa dan bermaruah demi menyelamatkan masa depan negara. – UTUSAN

MOHD. ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN
Ahli sekretariat Inisiatif Melayu Bermaruah (IMB)

The post Orang Melayu perlu pemimpin mempunyai watak pendidik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *