KULAI: Seorang ahli perniagaan menerima padah apabila ditahan kerana sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa kononnya dia disamun tiga lelaki bertopeng sehingga mengalami kerugian RM600,000, Ahad lalu.

Namun, taktik lelaki berusia 43 tahun itu terbongkar susulan keterangan yang meragukan ketika disoal siasat pegawai penyiasat.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, suspek membuat laporan itu sebagai alasan untuk diberikan kepada rakan perniagaannya selepas bisnes mereka mengalami masalah.

“Lelaki tersebut tampil membuat laporan polis pada pukul 9.40 malam, 15 Januari lalu memberitahu yang kononnya dia disamun tiga lelaki tidak dikenali ketika memandu kenderaan Toyota Alphard dan berada di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Plaza Tol Skudai.

“Menurut dakwaan, dia didatangi tiga lelaki tidak dikenali dengan memakai pelitup muka dan bersenjatakan pisau sebelum salah seorang ‘suspek’ berkenaan mengambil kotak mengandungi sejumlah wang RM600,000.

“Lelaki itu juga mendakwa ditumbuk pada bahagian muka sebelum ‘suspek’ membawa lari wang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Namun menurutnya, pegawai polis yang melakukan siasatan ke atas ‘mangsa’ mendapati timbul keraguan dalam keterangannya.

Akhirnya, lelaki itu mengaku membuat laporan palsu untuk ditunjukkan kepada rakan perniagaannya selepas bisnes mengalami masalah.

Susulan itu, lelaki tersebut ditahan selama dua hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

The post Padah buat laporan palsu, ahli perniagaan dakwa rugi RM600,000 ‘disamun’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *