KUALA KRAI: Seorang pemandu bas ekspres yang dipercayai mengejar ‘trip’ dengan memandu kenderaan itu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan sebuah kereta terbabas di Kilometer 74, Jalan Jalan Kota Bharu – Gua Musang dekat sini malam tadi.

Bas jenis Scania yang dipandu lelaki berusia 59 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 malam selepas polis menerima laporan daripada seorang pemandu sebuah kereta yang nyaris terlibat kemalangan disebabkan insiden itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan mendapati, bas ekspres yang membawa sembilan penumpang itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu dikatakan memotong di garisan berkembar pada pukul 3.55 pagi.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan sebuah kereta dari arah bertentangan terbabas ketika cuba mengelak daripada bertembung bas ekspres tersebut.

“Pada masa sama, bas ekspres terbabit juga hampir melanggar sebuah lagi kereta. Pemandu kereta itu yang sempat mengecam nombor pendaftaran bas tersebut tampil membuat laporan polis.

“Sebaik menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota polis menjalankan risikan sebelum berjaya mengesan bas ekspres terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarulzaman memberitahu, pemandu bas ekspres terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan mendapati, pemandu bas itu dipercayai mengejar trip perjalanan sehingga dia terpaksa memandu secara melulu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya-UTUSAN

 

The post Padah kejar ‘trip’ lelaki pandu bas melulu, berbahaya ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *