KOTA BHARU: Johor Darul Ta’zim (JDT) melaungkan keyakinan untuk menjinakkan Kelantan FC dalam suku akhir Piala Malaysia, malah yakin akan meledak ja­ringan selesa apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi pertama di Kota Bharu malam ini.

Begitupun, bermain di depan 22,000 penonton yang dijangka membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, The Red Warriors (TRW) menegaskan, mereka tidak akan menjadi ‘lauk’ Harimau Selatan dan mahu mencari bekalan paling selesa sebelum bertandang ke Johor minggu depan.

Tonggak pertahanan Kelantan FC, Khairul Helmi Johari berkata, memandangkan undian Piala Malaysia sudah diketahui awal, mereka telah lama bersedia secara psikologi, fizikal dan mental untuk berdepan pasukan terbaik Liga Malaysia (Liga M), JDT.

REZAL Zambery Yahya sudah membuat perancangan terbaik untuk berdepan JDT.

“Saya dan rakan-rakan teruja kerana akan menentang kelab terbesar dalam bola sepak tempatan. The Red Warriors akan memberi tentangan paling sengit kepada semua lawan, termasuk JDT,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya pula menyeru penyokong agar memberi sokongan padu tetap bukan mencetus provokasi yang mampu menggugat keharmonian.

“Saya harap penyokong yang hadir ke stadium sokonglah pasukan masing-masing dengan berintegriti dan janganlah lakukan provokasi.

“Pemain-pemain saya amat bersemangat dan saya mengharapkan komitmen tinggi daripada mereka esok (malam ini). Saya juga mengharapkan permainan fairplay (bersih) daripada kedua-dua pasukan,” katanya.

Sementara itu jurulatih JDT, Hector Bidoglia mahu pasukannya memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri, menguasai permainan dan melakukan hantaran-hantaran pantas untuk memburu kemenangan di Kota Bharu.

Bidoglio dia turut memberi bayangan tonggak naturalisasi Indonesia, Jordi Amat mungkin diberikan peranan penting selepas berada dalam skuad utama buat kali pertama dalam kempen Liga M musim ini.

“Amat pemain penting dan dia cukup profesional. Dia bersedia membantu pasukan ketika diperlukan,” katanya.

The post Pahlawan Merah tak akan jadi ‘lauk’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *