KUALA LUMPUR: Bintang Harimau Malaya, Faisal Halim mendedahkan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mencabarnya untuk muncul penjaring terbanyak Piala AFF selepas tiga gol berjaya diledak dalam dua perlawanan setakat ini.

“Alhamdulillah, rezeki saya sebenarnya, bukan saya hebat atau saya bintang, tetapi ini semua kerja keras rakan-rakan sepasukan juga.

“Terima kasih kepada rakan-rakan saya kerana mereka saya menjadi seperti sekarang.

“Saya juga ingat dengan pesanan jurulatih Kim (Pan Gon) kerana dia mahu saya menjadi penjaring terbanyak, daripada riak wajahnya saya tahu dia maksudkan kata-katanya itu,” kata Faisal.

Kali terakhir, pemain Malaysia muncul penjaring terbanyak Piala AFF ialah 12 tahun lalu menerusi Safee Sali.

Safee bukan sahaja membantu Malaysia muncul juara Piala AFF 2010, malah meledak lima gol sepanjang kejohanan.

Pemain yang bakal menyarung jersi Selangor, musim depan itu menegaskan, dia bukan bermain untuk menjaringkan gol demi kepentingan sendiri, tetapi sebaliknya untuk tanah air tercinta.

Faisal berazam jika diizinkan Allah, dia mahu membantu pasukan melangkah lebih jauh lagi sehingga ke separuh akhir dan seterusnya beraksi pada final Piala AFF.

“Ini merupakan tanggungjawab besar buat diri saya. Saya sahut cabaran itu. Kalau saya tak dapat penjaring terbanyak pun saya tak kisah kerana janji pasukan kita menang dan kita layak ke separuh akhir dan final.

“Kita belum berada dalam zon selesa, kita kena bekerja keras, untuk perlawanan ketiga, kita akan ke Vietnam, kita ke sana bukan untuk kalah, kita ada enam mata dan enam jaringan tanpa bolos,” ujarnya.

Pemain berusia 24 tahun itu juga berharap, menjelang kunjungan ke Vietnam, skuad negara dapat pertahankan kelebihan yang ada dan sekali gus, mencerahkan peluang ke peringkat seterusnya.  – UTUSAN ONLINE

The post Pan Gon cabar Faisal jadi penjaring terbanyak Piala AFF appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *