ALOR GAJAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diberi ruang dan peluang untuk membawa Malaysia ke arah lebih baik.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kepemimpinan Anwar hanya bersandarkan kepada masa lalu, iaitu ketika Ahli Parlimen Tambun itu bergelar Timbalan Perdana Menteri.

Jelas beliau, Anwar harus diberikan peluang baharu untuk membuktikan kemampuannya kerana beliau kini merupakan pemimpin nombor satu negara.

“Saya rasa Tun Mahathir mungkin melihat kepada sejarah, tetapi paling penting bagi saya adalah berikan peluang kepada Anwar. Saya cukup yakin dengan kemampuan beliau dengan pengalaman memimpin negara sebelum ini.

“Anwar juga menjadi Ketua Pembangkang dalam tempoh yang panjang dan mendepani pelbagai cabaran politik. Saya cukup yakin beliau boleh membawa Malaysia ke hadapan dalam tempoh yang bagi saya adalah sukar ketika ini, kerana kita menghadapi isu-isu ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas melawat waris mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, Selangor di Machap Baru di sini, petang semalam.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah mengulas ketidakyakinan Dr. Mahathir terhadap kemampuan Anwar memimpin negara berdasarkan prestasi ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tambah Adly, rakyat Malaysia juga harus memberi ruang dan peluang kepada Presiden PKR itu membuktikan kemampuannya.

Katanya, paling penting adalah dukungan dan sokongan semua pihak agar Perdana Menteri baharu dapat membawa negara ke arah lebih baik. – UTUSAN

The post Pandangan Tun M terhadap Anwar bersandar masa lalu – Adly Zahari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *