KUALA LUMPUR: Pelakon yang juga peminat sukan permotoran, Zul Huzaimy mengecam tindakan sekumpulan pemandu yang melakukan aktiviti lumba haram di Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang tular, baru-baru ini.

Prihatin dengan perkara tersebut, Zul berkata, tindakan kurang bijak pemandu tersebut bukan sahaja membahayakan diri, malah nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Lumba haram ini selalunya melibatkan budak baru nak up yang pantang nampak lebuh raya baru, mesti akan berlumba.

“Pelumba profesional tidak akan berlumba di jalan raya, sebaliknya di trek yang khusus untuk perlumbaan.

“Saya berani kata, kematangan budak-budak baru nak up ini rendah. Apa perasaan mereka kalau ahli keluarga sendiri menjadi mangsa kemalangan yang berpunca daripada lumba haram?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Pelakon yang bakal muncul dengan filem Daddyku Gangster itu turut  menegur tindakan pemandu kereta atau penunggang motosikal yang sengaja menganggu ketenteraman dengan membuat bising, terutama di tempat awam.

“Saya melihat ada peminat sukan permotoran yang selalu membuat bising menggunakan motosikal dan kereta di tempat awam seperti stesen minyak dan sebagainya.

“Bayangkan perasaan orang tua dan bayi yang berehat di kawasan tersebut apabila dikejutkan dengan bunyi-bunyian yang menyakitkan telinga.

“Sebagai Presiden Kelab Permotoran Amatur (Spark Malaysian Club), saya sentiasa mengingatkan dan meminta ahli agar jaga disiplin. Ada kalanya kita terlepas pandang perkara sebegini,” tegurnya.

The post Pantang nampak lebuh raya baru – Zul Huzaimy kecam pelumba haram appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *