JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri meminta semua agensi dan jabatan berkaitan untuk terus memantau kenaikan harga barangan dalam pasaran sebelum terus meningkat dan mencapai tahap kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, pemantauan perlu dilakukan secara menyeluruh dan berterusan supaya tidak membebankan rakyat.

Menurutnya, peningkatan barang makanan seperti sayur-sayuran yang dilaporkan ketika ini adalah disebabkan keadaan banjir yang melanda negeri ini.

“Memang ada ada sedikit kenaikan (harga barang), tapi tak ada peningkatan yang besar, melibatkan hasil tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Antara punca utama peningkatan hasil tanaman ini adalah disebabkan banjir yang berlaku. Jadi, kita minta jabatan berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan untuk pantau isu ini.

“Kita juga akan dapatkan laporan terus daripada mereka dalam usaha memastikan jangan ada peningkatan yang besar,” katanya ditemui selepas merasmikan Himpunan PeladangNita Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Shahrizan Sudiman.

Dalam pada itu Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berharap lebih banyak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) meningkatkan usaha mereka sehingga mencapai tahap peladang jutawan.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai apabila 11 PPK telah berjaya mencapai tahap tersebut pada 2021.

“Pada 2020, Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) melahirkan empat peladang jutawan dan jumlah itu meningkat pada 2021 (11 peladang jutawan). Saya harap angka ini akan terus bertambah,” katanya. – UTUSAN

The post Pantau kenaikan harga, jangan sampai kritikal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *