PETALING JAYA: Kehadiran penyanyi K-pop, Park Bom mencetuskan histeria dalam kalangan peminat di negara ini apabila sanggup berjam-jam menunggu ketibaannya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Park Bom yang mempunyai pengikut seramai 1.6 juta di Twitter tiba di ibu negara untuk beraksi dalam Festival Muzik Grand Wave K-pop di Surf Beach, Sunway Lagoon, semalam.

Ketika beraksi di festival itu, Park Bom yang mengenakan persalinan hitam menyanyikan beberapa lagu sambil menari di atas pentas.

Pengunjung festival tidak melepaskan peluang merakam aksi lincah Park Bom yang masih bertenaga membuat persembahan walaupun sudah mencecah usia 38 tahun.

Menerusi rakaman video di Twitter, ketibaan Park Bom di KLIA dikawal ketat sepasukan anggota polis bagi mengelakkan penyanyi tersebut diserbu.

Peminat yang setia menanti itu juga tidak melepaskan peluang dan berusaha mendapatkan tanda tangan penyanyi tersebut untuk diabadikan pada koleksi album mereka.

Seorang peminat tegar melayangkan ucapan penuh kerinduan terhadap penyanyi yang berangkat pulang ke Korea Selatan sejurus selesai mengadakan persembahan.

“Saya harap anda dapat berehat secukupnya dalam penerbangan dan semoga kita berjumpa lagi,” katanya.

Peminat lain pula tidak menyangka dapat mendengar lagu kegemaran daripada penyanyi yang dikenali menerusi kumpulan 2NE1 secara langsung semasa festival itu.

Kumpulan tersebut mencetuskan fenomena sebagai artis wanita paling popular selepas beberapa lagu yang dihasilkan menghuni carta teratas dalam platform penstriman digital.

The post Park Bom buat peminat Malaysia histeria appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *