ALOR SETAR: MCA hampir pasti mengekalkan kuota mereka di Parlimen Alor Setar untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun UMNO Bahagian Alor Setar sebelum ini kerap kali meminta agar kerusi itu diserahkan kepada mereka.

Proses menamakan wakil daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu juga semakin muktamad dengan Ketua MCA Bahagian Alor Setar, Tan Chee Hiong dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya kawasan itu.

Difahamkan, keputusan melantik Chee Hiong itu dibuat dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail kelmarin dan dihadiri wakil semua parti komponennya.

Sementara itu, Chee Hiong ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan pelantikannya, namun, enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Perkara ini akan diumum nanti secara rasmi semuanya (termasuk berkaitan calon Parlimen Alor Setar),” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Mohd. Yusof dalam Mesyuarat UMNO bahagian tersebut memberi gambaran bahawa kerusi yang diidam mereka itu akan terus menjadi milik MCA menjelang PRU15.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Setar turut berkata, jawatan Pengarah Pilihan Raya kawasan itu akan diserahkan kepada MCA seandainya parti berkenaan bertanding di situ.

Bagaimanapun, Mohd. Yusof menegaskan akan terus mendesak pucuk pimpinan BN untuk memberi peluang kepada UMNO bertanding di kerusi tradisi MCA itu kerana beranggapan parti itu mempunyai peluang cerah untuk merampasnya daripada PKR.

UMNO Alor Setar sebelum ini menyuarakan keinginan untuk bertanding di kerusi tradisi milik MCA itu berasaskan keyakinan parti tersebut mampu menawan pengundinya yang terdiri daripada 65 peratus Melayu.

Kerusi tersebut kini disandang PKR melalui wakil rakyatnya, Chan Ming Kai setelah memenangi PRU14 dengan majoriti 3,386 mengalahkan calon BN dan Pas. –UTUSAN

 

The post Parlimen Alor Setar yakin kekal kuota MCA appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *