KUALA NERUS: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khai­ruddin Aman Razali berjanji akan mengekalkan rekod perkhid­matan cemerlangnya sebagai Ahli Parlimen kepada penduduk sekiranya meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jelasnya, antara fokus utama yang akan dilaksa­nakan sebaik sahaja diberi mandat tersebut ialah menubuhkan Tabung Cakna Kuala Nerus bagi penduduk di kawasan Parlimen itu menikmati masa depan lebih baik.

Buat permulaan katanya, RM500,000 akan diperuntukkan sebagai dana awal dalam tabung itu yang memberi manfaat kepada penduduk me­lalui tiga segmen iaitu kesihatan, keusahawanan dan pendidikan.

Menurutnya, melalui segmen kesihatan, dana tabung itu akan disalurkan untuk menampung kos rawatan dan penjagaan ke­sihatan golongan kurang berkemampuan bagi membeli ubat-ubatan, susu dan lampin khas.

“Ini penting untuk menjaga kebajikan mereka agar tidak lagi terbeban dengan kos kewangan untuk mendapatkan akses ra­watan tambahan yang diperlukan terutama bagi pesakit kronik dan terlantar seperti mesin bantuan pernafasan dan katil pesakit mudah laras.

“Bagi segmen keusahawanan pula, ia khusus untuk peniaga kecil-kecilan, penjaja serta individu yang terlibat dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan modal permulaan di bawah RM5,000.

“Sekarang pun kita sudah bantu mereka dengan peralatan seperti ketuhar, mesin pengadun kek dan mesin pemotong rumput untuk memudahkan rakyat mencari rezeki mengikut kemahiran masing-masing, namun dengan adanya tabung ini nanti, manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai pe­nerima,” katanya.

Bagi memperkasa bidang pendidikan pula, Mohd Khai­ruddin berkata, beliau akan menaja kelas tuisyen rakyat serta kelas agama dan fardu ain dalam komuniti Kuala Nerus terutama bagi kanak-kanak dan remaja dari golongan berpendapatan rendah. – UTUSAN

The post Parlimen Kuala Nerus: Khairuddin fokus tiga segmen appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *