ALOR GAJAH: Perdana Menteri mengakui keperluan kerjasama dengan gabungan lain sekiranya tiada pihak yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerjasama ke arah membentuk kerajaan campuran adalah perlu bagi mengelak daripada berlakunya Parlimen tergantung.

Ketika ditanya kemungkinan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PKR sekiranya terjadi Parlimen tergantung, Naib Presiden UMNO itu berkata, keputusan kerjasama dengan mana-mana pihak hanya akan diputuskan parti kelak dan bukannya oleh individu.

“Itu keputusan besar, sebab ini parti yang perlukan putuskan, kita tak boleh individu yang buat keputusan. Nak PKR ke nak Perikatan Nasional (PN) ke nak Pakatan Harapan (PH). Tak nak itu, tak nak ini parti yang buat keputusan.

“Kalau tidak ada satu parti yang mempunyai majoriti mudah, tentu sahaja untuk membentuk kerajaan, kena ada kerajaaan campuran.

“Jika tidak memang akan jadi Parlimen tergantung, jadi sebab itu lah. Kita pun tak tahu lagi ada ke tidak parti yang boleh mempunyai majoriti mudah, tapi memang saya setuju kalau ada parti yang mempunyai majoriti mudah secara sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program jelajah mesra di Pekan Durian Tunggal di sini hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan menjalin kerjasama dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas PRU15.

Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan, isu itu adalah propaganda baharu dimainkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, ditanya mengenai khabar angin cuti umum khas pada 18 November dan gaji awal penjawat awam pada 17 November, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Hari ini dalam akhbar sudah ada bayangan, tunggulah saya umumkan nanti,” ujarnya ringkas. – UTUSAN

The post Parlimen tergantung: Kerjasama pihak lain diputuskan parti, bukan individu – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *