PETALING JAYA: Parti-parti politik menghadapi masalah membentuk kerajaan Persekutuan ekoran tiada yang mencapai majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setakat pukul 2 pagi ini, Pakatan Harapan (PH) menang 68 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula 64 kerusi, Barisan Nasional (BN) 29 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (dua kerusi).

Keadaan itu dirumitkan dengan tiada satu gabungan yang dapat dibentuk oleh parti-parti berkenaan kecuali PH dan PN bergabung membentuk kerjasama, namun ia satu yang mustahil berlaku.

Ini kerana kedua-dua parti saling berseteru dan sejarah lama khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan Pakatan Harapan (PH) di samping hubungan keruh antara DAP dan Pas.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersedia mengetepikan perbezaan sentimen sebelum ini dan sentiasa komited untuk melihat hubungan baik antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Namun kenyataan itu tidak memperincikan bentuk gabungan dan melibatkan mana-mana parti.

Keputusan PRU15 mengejutkan pelbagai pihak apabila pengundi Melayu beralih kepada PN selain 5.8 juta pengundi baharu yang kali pertama mengambil bahagian dalam pilihan raya umum (PRU) – UTUSAN

 

The post Parlimen tergantung? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *