PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan pemimpin-pemimpin Pas dibelenggu masalah kecelaruan mental iaitu ‘Split Personality Disorder’.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai itu berkata sedemikian selepas Pas berulang kali menukar kenyataan berkaitan kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.

Menurut beliau, kenyataan yang tidak berpendirian tetap itu bukan sahaja membuat dirinya dan rakyat sahaja pening, tetapi, kepada ahli Pas sendiri.

“Sejak kebelakangan ini, Pas pula yang ada gangguan mental atau psikologi terutamanya pasal isu kerjasama MN dengan UMNO. Masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Pas berkeras mahu tetap bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Perikatan Nasional (PN) dan abaikan MN tetapi selepas itu Pas mula mencari MN semula.

“Bila UMNO tolak, Pas merayu-rayu dan mula meroyan. Duduk membebel seorang diri nak lagi kepada MN. UMNO tolak lagi tetapi Pas merayu atas nama perpaduan ummah, UMNO pun beri peluang terakhir dengan bersyarat tetapi Pas pula cakap syarat itu merepek,” tulisnya di dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tiga syarat utama kepada Pas iaitu perlu keluar daripada gabungan PN serta memutuskan hubungan politik dengan Bersatu tetapi ditolak oleh Pas.

Sementara itu, Nur Jazlan turut mengkritik Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan pintu kerjasama antara UMNO dan Pas masih terbuka.

“Nampaknya penyakit gangguan psikologi dan mental pemimpin Pas itu sudah berjangkit kepada pemimpin UMNO, Annuar Musa. Bila Pas sudah tak nak bekerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Annuar pula boleh cakap masih ada ruang untuk UMNO dan PAS nak bekerjasama.

“Wahai Annuar, kamu tak faham ke, yang tak nak kepada MN itu dari asalnya adalah Pas bukannya UMNO. Pas yang mula-mula reject (tolak) UMNO dan MN, tapi kenapa kamu sibuk-sibuk macam UMNO pula salah?” katanya.

Tambahnya, sekiranya Ahli Parlimen Ketereh itu ingin bekerjasama dengan Pas, Nur Jazlan menyarankan Annuar menyertai Pas untuk mendapatkan undian semasa PRU15 bagi mengekalkan kedudukannya.

“Apa kata kamu buat permohonan jadi calon dan bertanding atas tiket Pas di Ketereh. Saya tahu kamu memang sangat terdesak nakkan undi orang Pas di Ketereh supaya kamu dapat menang lagi. Tapi janganlah heret UMNO sekali dalam masalah serta kehendak kamu untuk kepentingan sendiri,” ujarnya. –UTUSAN

The post Pas ada gangguan psikologi –Nur Jazlan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *