KUALA LUMPUR: Pas mempunyai hak untuk mengadakan protes esok bagi menunjukkan rasa tidak puas hati berhubung penghinaan terhadap agama Islam oleh seorang pemimpin pelampau Sweden baru-baru ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tiada masalah dengan penganjuran itu kerana semua pihak termasuk Pas boleh menyatakan pandangan masing-masing dalam hal ini. 

“Mereka (Pas) ada hak untuk buat demikian. Tiada isu mengenai protes (yang akan diadakan esok oleh Pas), mereka harus tunjukkan pandangan mereka,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas menghadiri pelancaran Buku Himpunan Esei ‘Knowledge, Tradition and Civilization: Essays In Honour Of Professor Osman Bakar’ di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), hari ini.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, Pas akan menganjurkan satu himpunan solidariti bagi bantahan tersebut.

Ketuanya, himpunan solidariti itu akan bermula di KLCC sebelum berarak ke Kedutaan Sweden, esok.

Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun berkata, bantahan ingin dianjurkan itu agak terlewat. 

Ini kerana jelasnya, Kerajaan Perpaduan sebelum ini telah menyatakan pendirian Malaysia bahawa negara ini tidak akan bertoleransi dengan tindakan Islamofobia pemimpin parti politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar senaskhah al-Quran di Stockholm.

Tambahnya, kerajaan juga telah menghubungi Duta Sweden dan menyatakan dengan jelas pendirian Malaysia mengenai perkara itu. 

“Kenyataan kita amat tegas tapi mereka (Pas) agak terlewat untuk nyatakan pendirian,” ujarnya. – UTUSAN

The post ‘Pas ada hak protes, tapi agak terlewat’ – Anwar  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *