KUALA TERENGGANU: Pas mengakui imej parti itu terjejas dengan kenyataan-kenyataan yang mengguris hati dan ekstrem daripada pemimpin dan penyokongnya setelah klip video mengenai perkara tersebut tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, dalam era kecanggihan teknologi seperti sekarang, sedikit kesilapan yang berlaku memberi kesan yang besar kepada pimpinan parti itu terutama ketika berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini. 

“Sudah tentu sedikit sebanyak ia menjejaskan (imej Pas). Saya tak boleh menafikannya terutama di era media sosial ketika ini. Kita cuba sebaik mungkin dalam tempoh (kempen) berbaki ini supaya penjelasan sewajarnya sampai kepada rakyat bahawa (kenyataan-kenyataan tular) ini tidak mewakili pendirian Pas,” katanya kepada pemberita di majlis santai bersama petugas media Terengganu di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

Semalam, klip video pelakon Zul Huzaimy pula tular dalam media sosial dan menerima kecaman hebat kerana pernah berniat mahu menyembelih orang bukan Islam di negara ini dalam satu program di Kemaman pada 4 November lalu.

Kedua-dua mereka bagaimanapun  membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia atas keterlanjuran tersebut.

Sehubungan itu, Ahmad Amzad yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Kuala Terengganu mengingatkan semua pemimpin dan penyokong Pas agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati dan ekstrem yang boleh membawa perpecahan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Ia sangat bertentangan dengan budaya politik, matang dan sejahtera yang diterapkan oleh Pas selama ini.

“Sebagai AJK Pas Pusat, saya ingin berpesan dan memberi nasihat kepada semua terutama kepimpinan dan penyokong Pas supaya tidak mengulanginya lagi. Tambahan pula, kita dah bercakap soal menyatupadukan rakyat khususnya umat Islam dan kaum-kaum lain. Oleh itu, jangan ada lagi elemen ekstrem seumpama ini,” katanya. – UTUSAN

 

The post Pas akui terjejas kenyataan mengguris hati, ekstrem appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *