TASEK GELUGOR: Perikatan Nasional (PN) belum memuktamadkan penggunaan logo parti komponen sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seperti yang dibangkitkan Pas dan Gerakan sebelum ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu akan ditentukan dalam mesyuarat antara pemimpin Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dijangka berlangsung dalam tempoh seminggu lagi.

Menurut beliau,  selagi keputusan belum dicapai di peringkat PN Pusat, setiap parti komponen bebas untuk menyuarakan pandangan serta cadangan masing-masing.

“Cadangan Pas untuk menggunakan logo sendiri akan dibincangkan di peringkat tertinggi PN, bila kita sudah ada keputusan, insya-Allah semua (parti) akan ikut.

“Sebelum ini memang sudah ada perbincangan berkenaan perkara ini tapi belum muktamad, sebab di dalam Pas, Bersatu, Gerakan ada pandangan tersendiri dan kita meraikan setiap pandangan kerana sudah pasti setiap parti ada hujah masing-masing,” kata beliau selepas menghadiri majlis Jelajah Prihatin PN Parlimen Tasek Gelugor, di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

LOGO

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan, parti itu akan terus menggunakan logo bulan di Kelantan, Terengganu, Kedah pada PRU15, namun logo PN kemungkinan akan digunakan calon Pas di negeri lain.

Perkara sama turut dibangkitkan Gerakan Pulau Pinang yang mana Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, pengundi negeri itu lebih mengenali logo Gerakan kerana parti tersebut sudah lama bertapak selain mempunyai rekod pentadbiran hampir 40 tahun di negeri itu.

Sementara itu ditanya berkenaan hasrat Pas bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful berkata, perkara tersebut juga akan dibincangkan di peringkat MT PN kelak.

“Saya mengalu-alukan cadangan Pas untuk mereka bertanding di sini, tetapi kerusi kawasan ini disandang Bersatu.

“Biasanya, dari segi prinsip yang kita pegang, penyandang adalah kekal, jadi secara prinsipnya juga, kerusi ini adalah untuk Bersatu.

“Tetapi, jika Pas ada cadangan atau idea yang mungkin boleh menjadi hujah yang mengatakan mereka lebih berpeluang, maka saya yakin di peringkat PN akan dengar pandangan tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

The post Pas, Gerakan mahu guna logo sendiri dimuktamadkan minggu lagi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *