ALOR SETAR: Dewan Ulama Pas mengesyorkan agar Kerajaan Pusat mengikut jejak langkah Kedah membanteras aktiviti judi dengan menghentikan operasi premis judi dan loteri.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, kerajaan diharapkan tidak sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat.

“Tidak ada dapatan yang menunjukkan aktiviti perjudian boleh membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan, sebaliknya ia hanya ilusi ibarat sebuah fatamorgana

“Lebih malang aktiviti perjudian sebaliknya membawa kepada keruntuhan moral serta mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad yang turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah di atas ketegasan menghapuskan lesen premis perjudian di negeri itu berkuat kuasa 1 Januari. 

Katanya, pelaksanaan dasar itu sekali gus memenuhi sebahagian daripada tuntutan al-Quran sendiri yang mencegah mereka yang beragama Islam daripada berjudi.

“Tindakan ini menjadikan Kedah negeri ketiga selepas Kelantan dan Terengganu yang menamatkan lesen premis perjudian di bawah kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pas,” katanya.

Menurutnya, walaupun ramai yang meragui kemampuan ekonomi Kedah susulan penutupan premis judi, Kedah sebaliknya mendapat pelaburan tertinggi dalam sejarahnya sepanjang 2021.

“Mereka berjaya menghasilkan deretan projek mega berimpak tinggi selain berjaya menghasilkan ratusan ribu peluang pekerjaan di negeri itu,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. – UTUSAN

The post Pas gesa Kerajaan Pusat ikut jejak langkah Kedah banteras judi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *