ALOR SETAR: Pas sememangnya layak menduduki kerusi menteri besar di Perlis dan Pahang memandangkan parti itu berada di kedudukan lebih senior srta bertanding lebih banyak kawasan di kedua-dua negeri tersebut. 

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pas akan diberikan laluan untuk memimpin negeri itu sebagai menteri besar bukanlah sesuatu yang mengejutkan. 

“Di Pahang contohnya, Pas bertanding 24 daripada keseluruhan 42 kerusi yang ada di negeri itu. Lagi pun, Pas sudah bertapak lama di negeri itu manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula berpecah dari Pakatan Harapan (PH) dan UMNO. 

“Bersatu masih di peringkat menstabilkan kedudukannya dan sudah tentu dari aspek politik untuk memimpin negeri, yang lama itu kena ada. Senioriti, kestabilan, kekukuhan jentera dan cawangan perlu diambil kira. 

“Itu perkara biasa dalam politik dan saya tidak terkejut dengan pengumuman tersebut. Perkara itu pun diumumkan secara spontan oleh Muhyiddin tanpa ada sebarang perbincangan dan itu menunjukkan bahawa bahawa Pas dan Bersatu ini sama pandangan serta sehati sejiwa,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kempen Pelaksanaan Pembayaran Tanpa Tunai Antara Kerajaan Negeri Kedah dan Payments Network Malaysia (Paynet) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Ketika berucap dalam siri Jelajah PN Parlimen Pendang kelmarin, Muhyiddin mengumumkan bahawa wakil dari Pas akan dilantik ke jawatan menteri besar di Pahang dan Perlis sekiranya kedua-dua negeri itu dimenangi PN. 

Menurut Presiden Bersatu itu, parti pimpinannya akan memberi sokongan penuh kepada wakil Pas apatah lagi setelah melibat prestasi baik dicatatkan Kedah di bawah pimpinan Muhammad Sanusi.

Muhammad Sanusi berkata, keputusan mengenai siapa calon yang bakal menduduki kerusi itu bagaimanapun ditentukan Pas Pusat.

“Namun di Pahang, kita ada calon yang kuat iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti diumumkan Muhyiddin tempoh hari. Pandangan saya, beliau adalah taruhan yang kuat untuk kita di negeri itu,” katanya.

Ditanya sama ada Pas akan mempelawa dua bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib serta Datuk Seri Shahidan Kassim menyertai parti itu, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu juga terpulang kepada Pas Pusat.

“Bab nak jadi ahli Pas, kena tanya Pas Pusat. Saya rasa orang macam itu, patut dialu-alukanlah. Saya difahamkan Shahidan bertanding atas tiket PN tetapi beliau belum tentukan parti mana akan disertai selepas PRU. Semua orang ada kelebihan tetapi itu kena tanya Pas Pusatlah,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

The post Pas layak jadi MB di Perlis, Pahang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *