SHAH ALAM: Pas negeri ini mengulangi keyakinannya yang didukungi keputusan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 74 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Keputusan yang disifatkan sebagai ‘gelombang hijau’ itu didakwa menjadi sandaran untuk menguasai kawasan-kawasan pengundi Melayu dalam PRN apabila PN dikatakan memperolehi sokongan sekitar 56 peratus daripada kumpulan itu.

Menurut Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir,  Pas Selangor yakin masyarakat Melayu bangkit melalui gelombang tersebut kerana bosan dengan kepimpinan Melayu yang cenderung rasuah, masalah moral dan gagal menepati janji.

“Mengikut rekod Pas Selangor, enam kerusi Parlimen yang dimenangi PN memperolehi sekitar 55.7 peratus undi daripada pengundi Melayu yang keluar mengundi dengan Parlimen Kuala Langat mencatatkan rekod 72 peratus.

“Bagi Pas Selangor sohor pengundi Melayu seumpama ini bersifat nasional dan tidak mengenal batas sempadan sebagaimana didakwa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR Selangor kononnya hanya berlaku di Kedah dan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pas menaruh keyakinan merampas Selangor dalam PRN berdasarkan 60 peratus penduduk di ne­geri itu berbangsa Melayu yang diyakini akan meneruskan momentum ‘gelombang hijau’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 dalam PRN pula.

Dalam pada itu, Roslan Shahir memaklumkan, pengundi Melayu termasuk di Selangor cukup rasional untuk menuntut sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan berwibawa sambil mendakwa Menteri Besar dan kerajaan negeri sebagai lemah.

“Menteri Besar dan kerajaan negeri yang lemah, tidak kompeten dengan sekadar menabur janji kosong akan menjadi mangsa gelombang ini termasuklah di Selangor.

“Rakyat mahukan sebuah kerajaan negeri yang benar-benar memahami dan mewakili kehendak dan aspirasi mereka, Pas Selangor menawarkan alternatif Perikatan Nasional dan yakin ia pilihan majoriti rakyat khasnya para pengundi Melayu,” jelasnya. – UTUSAN

The post Pas Selangor ulang ‘gelombang hijau’ akan landa PRN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *