PORT DICKSON: Kejadian kemalangan yang meragut nyawa penunggang dan pembonceng sebuah motosikal malam Ahad lalu mengundang desakan supaya isu jalan gelap di Lebuhraya Seremban-Port Dickson diselesaikan segera pihak bertanggungjawab.

Walaupun kemalangan tersebut mungkin bukan berpunca daripada keadaan gelap di lebuh raya berkenaan, keperluan pemasangan lampu jalan bagi menambah pencahayaan di situ penting bagi mengelak kejadian buruk lain daripada berlaku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar pula berkata, cadangan supaya Lebuhraya Seremban-Port Dickson diterangkan dengan lampu jalan telah dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya diambil tindakan.

Bagaimanapun, jelas beliau, sehingga kini tiada tindakan diambil malah difahamkan perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Port Dickson adalah pusat peranginan negara, jadi jalan asas ke sini perlu terang supaya ia terus jadi tumpuan orang ramai. Mungkin bukan menjadi punca kemalangan tetapi pemasangan lampu boleh mengelak kemalangan daripada berlaku.

“Pemasangan lampu ini sangat penting kerana ia turut memberikan keceriaan sepanjang jalan masuk ke Port Dickson,” katanya lagi kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mohd. Esa berkata, terdapat wakil PLUS dalam Mesyuarat Jawatankuasa Infra MPPD dan perkara tersebut akan dibincangkan lebih lanjut.

“Bagi saya, ya ada keperluan memasang lampu di lokasi tertentu yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna lebuh raya tersebut,” katanya. – UTUSAN

The post Pasang lampu jalan Lebuhraya Seremban-Port Dickson appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *