SHAH ALAM: Pasangan kekasih yang aktif mengedar ganja berskala besar sejak empat tahun lalu akhirnya tersungkur apabila dicekup polis di kawasan parkir sebuah pasar raya di Setia Alam di sini, minggu lalu.

Lebih malang, dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika sedang berurusniaga menunggu rakan subahat sindiket berkenaan.

Selain rampasan ganja bernilai RM115,342, seorang lelaki berusia 27 tahun disyaki ketua mereka turut diberkas bagi tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, serbuan hasil risikan selama sebulan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Klang Selatan dan Pasukan Polis Marin (PPM) pukul 6 petang, 22 Disember lalu.

Kata beliau, serbuan awal melibatkan penahanan tiga suspek bersama dua beg kanvas berisi ketulan ganja seberat 31 kilogram (kg) di dalam sebuah kenderaan di parkir premis itu.

“Ia kemudian membawa kepada penemuan dadah jenis sama seberat 15kg di sebuah rumah di Taman Aman Perdana, Klang, kira-kira pukul 10 malam.

“Semua ketulan mampat ganja itu turut ditemukan dalam dua beg dan dirampas bagi tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Jelas Mohd. Iqbal, siasatan awal mendapati sindiket itu memperoleh bekalan dadah dari Pulau Pinang dan mengedarnya di sekitar Lembah Klang.

“Ganja itu dibeli dengan harga RM1,500 setiap kg dan sindiket dipercayai menyewa rumah untuk menyimpan dadah berkenaan. Kita turut akan mengesan saki baki sindiket berkenaan termasuk pembekal utama mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing mendapati dua suspek lelaki positif dadah.

“Semakan mendapati seorang daripada lelaki itu turut memiliki empat rekod jenayah lampau termasuk kes dadah. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – UTUSAN

 

The post Pasangan kekasih ‘kantoi’ edar 46kg ganja appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *