JOHOR BAHRU: Sepasang kekasih yang dipercayai sedang berdua-duaan dalam kereta Proton Persona mencetuskan ‘drama’ apabila nekad melarikan diri daripada polis peronda.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, video kejadian berkenaan kira-kira pukul 11.30 malam tadi yang berdurasi 1 minit 15 saat tular dalam media sosial, hari ini.

“Ketika kejadian, anggota sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan rekreasi Adda Height, Johor Bahru sebelum mendapati sebuah kereta diletakkan dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa pemeriksaan hendak dibuat, suspek telah bertindak mengundurkan kenderaan dan merempuh kereta peronda polis, sebelum bertindak cuba melarikan diri. Tindakan suspek melarikan diri dikejar sehingga 10 buah kenderaan peronda polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Johor Bahru Utara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pasangan tersebut kemudiannya berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara-Selatan, iaitu di kawasan Ayer Hitam setelah cuba melarikan diri sejauh lebih 70 kilometer.

“Suspek merupakan seorang pemandu lelaki berusia 20 tahun dan pasangannya berusia 18 tahun, kedua-duanya merupakan warga tempatan. Polis turut merampas kenderaan digunakan suspek, sebuah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM168,” katanya.

Raub memberitahu, soal siasat mendapati pasangan tersebut bertindak melarikan diri selepas terkejut apabila melihat kenderaan peronda polis menghampiri mereka.

“Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod bersabit kes dadah atau jenayah.

“Kedua-dua suspek telah dikenakan reman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang RM5,000 selain lesen memandu digantung dua tahun,” katanya. – UTUSAN

The post Pasangan kekasih terkejut lihat polis, larikan diri lebih 70 kilometer appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *