PETALING JAYA: Sebanyak 150 orang pasangan anggota lain-lain pangkat (LLP) kumpulan Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) yang menerima sumbangan kebajikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT). 

Menurut YLTAT, inisiatif itu merupakan satu usaha konsisten untuk memastikan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terjaga terutamanya anggota yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) itu. 

“Sumbangan berupa keperluan harian telah diserahkan kepada penerima manfaat yang terdiri daripada suami atau isteri anggota LLP dan pegawai yang telah berkahwin hari ini. 

“Penyerahan itu disempurnakan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad diiringi Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin. 

“Jumlah keseluruhan bagi bantuan one-off ini adalah seramai 567 penerima manfaat,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Dalam pada itu, Nizar dalam satu kenyataan lain, mengajak semua pihak bersama-sama mendoakan agar wira-wira negara dipermudahkan urusan bertugas diperbatasan di sana.

Malah, katanya, diharap agar ahli-ahli keluarga mereka cekal dan tabah dilindungi oleh Allah. 

“Menenangkan dan memujuk adik Nur Rania Fakhira Farizal (4 tahun) di mana ibunya, Koperal Nur Nazatul Rasyidah Md. Rosmin terlibat dalam misi keamanan ke Lubnan. 

“Hari ini merupakan pelepasan untuk Kumpulan Kedua Kontinjen Malbatt 850-10 berkekuatan 217 terdiri daripada 12 pegawai dan 206 anggota lain-lain pangkat. 

“Sebagai tanda keprihatinan terhadap pengorbanan meninggalkan keluarga kerana bertugas dalam misi diluar negara Yayasan LTAT memberi sumbangan kebajikan kepada keluarga anggota yang terlibat yang disampaikan oleh Leftenan Jeneral Datuk Yazid,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan, seramai 854 anggota terdiri daripada 84 pegawai dan 770 anggota LLP kumpulan pertama MALBATT 850-10 menyertai misi itu. 

Pelepasan kumpulan pertama disempurnakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 27 Oktober lalu.  – UTUSAN

The post Pasangan MALBATT 850-10 terima sumbangan Yayasan LTAT appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *