SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri yang merupakan pengusaha syarikat perancang perkahwinan yang direman bagi membantu siasatan kes tipu pengantin dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Dua suspek berusia lingkungan 30-an itu sebelum ini direman selama tiga hari bermula Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pasangan terbabit dibebaskan pada petang semalam atas arahan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kedah.

“Mereka dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh reman dikenakan terhadap mereka selama tiga hari berakhir semalam.

“Mereka akan dipanggil semula selepas pihak kita melengkapkan kertas siasatan melalui pengumpulan bukti daripada semua pengadu terlibat,” katanya di sini hari ini.

Pasangan suami isteri terbabit ditahan di Gurun dan direman selama tiga hari bermula Isnin lalu kerana didakwa menipu empat pasangan pengantin dengan tidak memenuhi pakej perkahwinan yang dipersetujui.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan impian empat pasangan pengantin baharu untuk meraikan hari bahagia dengan penuh meriah ranap apabila mendakwa ditipu sebuah syarikat perancang perkahwinan.

Pasangan pengantin mendakwa syarikat terbabit tidak memenuhi pakej perkahwinan yang telah dipersetujui, menyebabkan majlis yang dirancang rapi supaya dapat menjadi kenangan manis seumur hidup telah bertukar menjadi huru-hara.

Selain terpaksa berhutang kerana perlu mengeluarkan kos baharu dan tambahan untuk menyediakan peralatan dan perkhidmatan katering yang gagal disediakan syarikat itu, mereka juga menanggung malu kepada jemputan kerana majlis tidak berlangsung seperti diharapkan. – UTUSAN

The post Pasangan suami isteri direman kes tipu pengantin dibebaskan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *