PUTRAJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) komited menarik minat pelajar antarabangsa dari Asia Barat untuk menyambung pengajian di Malaysia terutama menerusi laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan program micro-credentials.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, berdasarkan komunikasi awal dengan wakil badan akreditasi negara teluk ketika pertemuan di Warsaw, Poland sebelum ini, mereka mengalu-alukan institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia untuk menawarkan dua bentuk program itu di Asia Barat.

Katanya, maklum balas yang diterima mengenai APEL dan program micro-credentials daripada badan akreditasi di sana amat memberangsangkan dan sambutan terhadap pendidikan tinggi negara sememangnya positif.

“Selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memberi fokus kepada pasaran pendidikan tinggi di Asia Barat, MQA akan mempergiat lagi inisiatif untuk menonjolkan pendidikan tinggi Malaysia di sana.

“Tahun 2023, kami akan meningkatkan inisiatif untuk menonjolkan lagi APEL dan micro-credentials di peringkat global menerusi kerjasama antarabangsa, lawatan kerja, seminar serta persidangan yang disertai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Shatar berkata, apabila pasaran Asia Barat dapat ditembusi, ini akan membantu hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.

Beliau yang juga Presiden ASEAN Quality Assurance Network (AQAN) berkata, pihaknya akan tetap fokus pada negara ASEAN dengan terus mencari peluang kerjasama dalam kalangan badan akreditasi serantau terutama membabitkan APEL dan micro-credentials.

Katanya, menerusi APEL dan micro-credentials, MQA mengambil langkah proaktif dengan memberikan fleksibiliti kepada pelajar untuk menentukan sendiri tempoh bergraduat mereka dan menggunakan pengalaman lampau untuk mendapatkan kelayakan akademik.

“Sejak APEL dan micro-credentials diperkenalkan sambutannya amat menggalakkan, ramai dalam kalangan masyarakat sudah mula mengambil peluang untuk menyambung pengajian menggunakan dua kaedah ini.

“Di Malaysia, lebih 65 peratus tenaga kerja layak untuk menggunakan laluan APEL bagi meningkatkan kelayakan akademik masing-masing,” katanya. – UTUSAN

The post Pasaran positif pendidikan tinggi negara di Asia Barat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *